TANJONG MALIM, 13 November 2025 – Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diselubungi suasana penuh emosi apabila Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menzahirkan penghargaan mendalam kepada para ibu yang menjadi tulang belakang kejayaan graduan universiti itu.
Dalam ucapan pada sesi ketiga istiadat berkenaan yang meraikan seramai 1,024 graduan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, beliau menyifatkan kejayaan para graduan sebagai hasil pengorbanan, kesabaran dan kasih tanpa syarat seorang ibu.
“Ijazah yang digenggam itu bukan sekadar kertas bertinta, tetapi himpunan kenangan, air mata kesungguhan, serta doa yang tidak pernah putus daripada seorang ibu.
Md Amin turut meminta para ibu yang hadir untuk berdiri sebagai tanda penghormatan atas jasa mereka, sebelum dewan bergema dengan tepukan panjang daripada para graduan dan tetamu.
“Konvokesyen ini bukan hanya lambang kejayaan akademik, tetapi hadiah buat seorang ibu yang tidak pernah berhenti percaya kepada anaknya.
Beliau turut menyentuh kepelbagaian panggilan ibu dalam budaya tempatan antaranya Mak, Mama, Mami, Ummi, Bonda, Amma, Indai dan Umak yang disifatkannya membawa makna kasih yang sama, menjadi nadi kepada kekuatan insan bergelar anak.
“Tidak kisahlah siapa yang kita panggil ibu, semua perkataan itu satu nada, satu nafas dan satu rasa yang mencerminkan kasih sayang terhadap sosok ibu.
Dalam pada itu, Md Amin turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang terus memperkukuh kedudukannya di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus mencerminkan kekuatan ilmu yang diasuh dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
Beliau berkata, kecemerlangan akademik yang dicapai oleh UPSI perlu terus diseimbangkan dengan pembentukan jiwa yang mengenal asal usul dan menghargai jasa mereka yang menjadi pendorong utama di sebalik setiap kejayaan.
“Kita ingin melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak dalam akademik, tetapi juga tahu menghargai kasih ibu bapa serta berbakti kepada masyarakat,” ujar beliau.
– Oleh Bazli Razak –
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
13 NOVEMBER 2025